20 kawah dodol, 8 kuih tradisional kembalikan nostalgia Aidilfitri
PANTAI KUNDOR 16 April – Sebanyak 20 kawah dodol lapan jenis kuih tradisional dibuat secara bergotong-royong seakan mengembalikan kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi@Mohd Hashim berkata, dodol dan kuih tradisional itu dimasak menerusi Program Kacau Dodol Bersama Warga Pantai Kundor malam tadi.
Menurutnya, kesemua juadah itu kemudiannya diagihkan kepada 2,000 penerima terdiri daripada penduduk dan warga Pantai Kundor.
“Program kali ini melibatkan belia dan pemuda di 20 Cawangan UMNO Bahagian Pantai Kundor yang mana dianggarkan ia melibatkan kira-kira 1,000 peserta secara keseluruhan termasuk penduduk dan warga sekitar.
“Tahun lepas kita buat 10 kawah dodol tetapi disebabkan sambutan menggalakkan daripada golongan muda tahun ini, kita kita gandakan jumlah itu dan jadikan 20 kawah,” katanya pada program berkenaan yang diadakan di Pentas Budaya, Pantai Puteri, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Tuminah berkata program tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diadakan oleh penduduk kampung dalam menyemarakkan ukhwah di samping mendidik golongan muda.
Menariknya, beliau berkata, untuk tahun ini program itu turut mengetengahkan pembuatan lapan jenis kuih tradisional termasuk kuih koya (putu kacang hijau), bahulu, kuih kapit, onde-onde, kuih ros, lidah buaya, kuih karas dan kuih buah rotan.
“Kesemua kuih ini disediakan menggunakan teknik asal pembuatannya seperti bahulu yang dibakar menggunakan sabut kelapa dan kuih kapit jenis gulung, sekali gus menghasilkan juadah dengan rasa asli.
“Anak-anak muda dapat pelajari bagaimana cara membuat kuih-kuih ini dari bahan asasnya sehinggalah ia siap,” katanya yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.