Dataran Bandaraya jadi destinasi berbuka puasa Melaka – KM

Masa Membaca:59 Saat
AYER KEROH 14 April – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercadang menjadikan Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebagai destinasi berbuka puasa Negeri Melaka bermula tahun depan.
Katanya, lokasi itu dipilih memandangkan kawasannya yang lebih cantik dan menarik, selain mempunyai kemudahan yang terbaik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada MBMB kerana menyediakan tempat berbuka puasa terbuka seperti ini yang cukup selesa untuk rakyat meraikan bulan Ramadan dan mengeratkan silaturahim.
“Saya menyuarakan hasrat kepada Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman untuk menjadikan dataran ini sebagai destinasi berbuka puasa Negeri Melaka bermula tahun depan.
“Ini kerana kawasan ini lebih baik dari segi kemudahan selain kawasannya yang cantik dan kebersihan terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar Santai YAB Ketua Menteri Melaka di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco  Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu, dianggarkan kira-kira 1,000 pengunjung hadir untuk berbuka puasa bersama Ketua Menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6214
Kongsi :
Previous post MoU RM2b bakal rancakkan industri maritim di Melaka – KM
Next post Aidilfitri: SWM tumpu 89 lokasi di Melaka, elak longgokan sampah tidak terkawal
Ubah saiz-+=