COVID-19: Tiga kluster pendidikan dilaporkan di Melaka
AYER KEROH 14 April – Melaka merekodkan tiga kluster aktif COVID-19 yang menyaksikan jumlah kes di negeri ini kembali meningkat.
Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, tiga kluster membabitkan dua di daerah Jasin dan satu di Melaka Tengah itu mencetus pertambahan 226 kes baharu sehingga semalam.
Jelasnya, kesemua kluster yang dikesan ialah membabitkan kluster pendidikan yang yang ia membabitkan pelajar.
“Kluster pertama direkodkan adalah Kluster Jalan Selandar membabitkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) membabitkan seramai 64 kes positif dan jangkitan ini dikesan menular dalam kalangan pelajar asrama.
“Kluster Jalan Sempang 20 Jasin 2 pula membabitkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghaffar Baba, dengan seramai 72 kes positif dikenal pasti sehingga semalam.
“Bagi Kluster Lorong Bukit Piatu 15 2, ia berlaku dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMK) Teknik Melaka, dengan 90 kes positif dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi hari Raya 2023 (Op Raya 2023) yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia Dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem, di sebuah pasaraya di Ayer Keroh, hari ini.
Menurut beliau, melalui penilaian dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka didapati terdapat beberapa faktor penularan antaranya kurangnya kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa pergaulan ketika di asrama serta perkongsian fasiliti yang sama.
“Melalui penilaian risiko dilakukan kita dapati terdapat ketidakpatuhan SOP seperti tiada penjarakan sosial dan tiada pemakaian pelitup muka selain berlakunya kelewatan pengasingan kes positif.
“Malah bagi Kluster Lorong Bukit Piatu 15 2 pula, jangkitan disyaki berpunca apabila kes indeks hanya dikesan selepas enam hari bergejala dan tidak diasingkan serta jangkitan seterusnya merebak ke pelajar lain.
“Penularan dikatakan berlaku semasa pelajar melakukan aktiviti bersama terutamanya pelajar baharu yang sedang menjalani minggu orientasi,” katanya.
Rusdi berkata, sebanyak 547 kes baharu dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 14 (ME 14) dengan peningkatan 72 peratus berbanding hanya 318 kes pada minggu sebelumnya.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Melaka sebanyak 146,604 kes dengan purata kes bagi tujuh hari pada ME 14 adalah 78 kes selain terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan minggu ini.
“Pada waktu ini tiada kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selain jumlah kes sembuh pula direkodkan sebanyak 144, 804 kes,” katanya.
Mengulas lanjut, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi, Rusdi turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah dan berjaga-jaga dengan penularan COVID-19.
“Amalkan pematuhan SOP dan sekiranya mengunjungi tempat tumpuan ramai pakailah pelitup muka, ini sebagai langkah mengelak daripada berlaku penularan jangkitan.
“Selain itu saya juga mengingatkan kepada mereka yang pulang ke kampung dari tempat pengajian seperti kolej, universiti atau sekolah jika merasakan tidak sihat lakukanlah saringan sebelum pulang semula ke tempat pengajian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.