Lebihan makanan bazar Ramadan jadi santapan moreh

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KLEBANG 14 April – Sekumpulan 13 anak muda mengambil inisiatif mengumpul lebihan makanan untuk diagihkan sebagai juadah moreh bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran.

Mereka akan ke beberapa bazar iaitu Bukit Rambai, Pantai Kundor dan Klebang untuk mengumpul lebihan makanan, kemudiannya dihantar ke masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan berkata, program yang dibamakan MYSaved Food itu sudah dilakukan kumpulan yang terdiri daripada Sukarelawan Perpaduan sejak hari pertama umat Islam berpuasa.

Beliau berkata, MYSaved Food adalah inisiatif anak muda daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang bagi mengelakkan pembaziran daripada lebihan makanan yang masih boleh dimakan.

“Makanan yang dikumpul itu terlebih dahulu akan diperiksa dan dipastikan masih elok untuk dimakan sebelum dihantar ke masjid atau surau bagi juadah moreh.

“Sejak dilakukan, MYSaved Food sudah membekalkan makanan moreh kepada lebih lima masjid dan surau dan akan diteruskan sehingga akhir Ramadan,” katanya.

Menurutnya, selain masjid atau surau, makanan itu turut diagihkan ke rumah keluarga yang kurang berkemampuan dan asnaf.

“Setiap masjid atau surau misalnya, akan menerima kira-kira 10 jenis makanan termasuk kuih-muih.

“Malah kita turut mengalu-alukan peniaga bazar yang berminat dalam program ini dengan menghantar lebihan jualan makanan yang masih elok ke RUTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) Klebang Besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1024
Kongsi :
Previous post Kerajaan terbuka terima pandangan belia
Next post Warga emas maut dalam perjalanan pulang ke rumah
Ubah saiz-+=