Pacu kehidupan keluarga berpendapatan rendah sempena Aidilfitri
SUNGAI UDANG 14 April – Petronas melalui Yayasan Petronas meneruskan inisiatifnya membantu keluarga berpendapatan rendah di sekitar Melaka melalui pengagihan sumbangan di bawah program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023.
Program itu diadakan bertujuan meringankan beban golongan terbabit dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Sumbangan Hari Raya Aidilfitri tersebut telah disampaikan Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat kepada para penerima sumbangan sambil disaksikan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, di dalam satu majlis penyerahan bertempat di Rumah Anak-Anak Yatim Payasum, di sini, semalam
Seramai 150 buah keluarga berpendapatan rendah di sekitar Negeri Melaka yang telah dikenal pasti Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menerima sumbangan barangan makanan asas berupa beras, minyak masak, gula, tepung gandum, garam, serbuk minuman coklat, teh dan kekacang.
Selain itu, setiap keluarga turut menerima sumbangan barangan bertemakan perayaan Aidilfitri seperti, kacang tanah, pes kuah kacang, pes rendang, beras pulut dan santan.
Bagi memeriahkan lagi lebaran yang bakal menjelang, Petronas turut menyumbangkan biskut raya yang telah disediakan oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat) anjuran Yayasan Petronas yang juga merupakan salah satu daripada usaha membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Selain daripada sumbangan makanan, pada tahun ini, setiap penerima bantuan turut menerima Kad Hadiah Petronas yang boleh digunakan oleh penerima untuk menebus petrol mahupun barang keperluan dari kedai Mesra di stesen-stesen Petronas yang berhampiran.
Menurut Mohd Zaki program tersebut merupakan inisiatif berterusan Petronas dalam menyantuni golongan yang memerlukan di sekitar kawasan operasinya.
“Ia juga merupakan salah satu usaha Yayasan Petronas dan Petronas Dagangan Berhad dalam menyokong inisiatif Bakul Rahmah yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban penerima di samping dapat digunakan sebagai persediaan sambutan Raya Aidilfitri kelak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengendali Rumah Anak-Anak Yatim Payasum Puziah Taha merakamkan ucapan terima kasih kepada Petronas yang sudi menyantuni anak-anak yatim di rumah berkenaan.
“Syukur, tidak putus sumbangan dan acara berbuka puasa melibatkan anak-anak Payasum pada Ramadhan kali ini.
“Semoga anak-anak di sini gembira dapat menyambut Hari Raya yang bakal kunjung tiba nanti,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.