Raya Mohd Ramdan lebih meriah tahun ini
BUKIT BARU 11 April – Perasaan hiba bercampur gembira menyelubungi wanita ini ketika dia membantu anaknya yang berkerusi roda memilih dan mencuba baju raya sumbangan Zakat Melaka.
Norhashimah Md Lelah, 48, berkata, anaknya Mohd Ramdan Mohemed, 13, menghidap masalah sakit tulang belakang sejak kecil dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda bagi melakukan aktiviti harian.
Dia berharap sumbangan baju raya baharu itu dapat menceriakan lagi Mohd Ramdan yang juga anak bongsu daripada lapan adik-beradik.
“Semoga pada pagi 1 Syawal nanti Mohd Ramdan dan adik-beradik yang lain lebih ceria bergaya dengan baju raya baharu.
“Tahun ini dapatlah Mohd Ramdan beraya dengan baju baharu dia, sebelum ini memang saya ada belikan juga, tetapi ala kadar sahaja ikut kemampuan,” katanya ketika ditemui pada Program Tautan Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Fakir, Miskin & Yatim di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Menurutnya masalah tulang belakang dihidapi Mohd Ramdan sudah diketahui ketika kandungan anaknya itu berusia beberapa bulan dan diterima dengan hati yang reda serta dianggap sebagai satu bentuk anugerah daripada Allah SWT.
Malah dia tidak pernah menganggap kelahiran Mohd Ramdan sebagai satu bebanan, sebaliknya anak bongsunya itu umpama pintu rezeki bagi Norhashimah.
“Sejak Mohd Ramdan lahir pasti ada sahaja rezeki untuk kami anak-beranak. Biarpun sudah dua tahun suami meninggal dunia, rezeki untuk kami tidak pernah putus.
“Sebenarnya menguruskan Mohd Ramdan tidak sukar. Namun anak tidak boleh jamah nasi, jadi saya gantikan dengan menu lain seperti roti dan kek yang disediakan sendiri oleh saya.
“Alhamdulillah meskipun kekurangan daripada aspek fizikal namun anak boleh bertutur sama seperti individu normal lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.