1,740 terima bantuan raya
PENGKALAN BATU 11 April – Bantuan perayaan Aidilfitri berjumlah RM348,000 akan diagihkan secara berperingkat kepada 1,740 penerima di enam kawasan Parlimen seluruh Negeri Melaka.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, agihan sumbangan itu adalah menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka.
Kalsom berkata sumbangan itu antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan melakukan persiapan menyambut Aidilfitri nanti.
“Setiap penerima akan mendapat sumbangan berjumlah RM200 dan kita mulakan dengan mereka dalam Parlimen Hang Tuah Jaya, pada hari ini.
“Mereka yang layak adalah dalam kalangan golongan B40, orang kurang upaya (OKU) dan juga ibu tunggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 Negeri Melaka yang turut dihadiri Timbalan Exconya Leng Chau Yen, di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pada hari ini sumbangan disampaikan kepada 248 penerima dan penyampaian terakhir dijadualkan selesai pada 16 April.
Sementara itu, penerima sumbangan Bakri Tambi Ali, 61, yang juga OKU kudung kaki kanan berkata, sumbangan itu secara tidak langsung dapat membantu dia dan isteri membuat persiapan raya.
“Dengan keadaan sekarang ini yang sudah tidak dapat lagi bekerja dan berjalan, sambutan raya hanya ala kadar sahaja. Memang anak-anak ada membantu tetapi jauh disudut hati saya ingin membuat persiapan sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.