Rezeki si pencuci karpet
PAYA RUMPUT 10 April – Ramadan adalah saat yang dinantikan pengusaha perkhidmatan mencuci karpet berikutan limpahan bulan berkat itu membawa sinar rezeki kepada mereka.
Pengurus sebuah syarikat mencuci karpet di di Taman Paya Emas, Bertam Ulu, Mohammad Azizi Haron, 32, mengakui Ramadan tahun ini umpama bulan rezeki buat perniagaannya yang sudah beroperasi sejak 2008.
Malah, katanya, tempahan ‘menggila’ sudah diterimanya sejak sebelum Ramadan lagi, sehingga dia dan pekerja tidak menang tangan untuk memuaskan hati pelanggan.
“Sejak sebelum puasa lagi sudah ada yang menghantar karpet untuk dicuci kepada kami dan tempahan itu terus meningkat sehingga tibanya Ramadan sebelum kami menutup tempahan pada 10 Ramadan.
“Untuk tahun ini sahaja lebih 100 karpet pelbagai saiz dan jenis telah dihantar kepada kami untuk dicuci sebagai persediaan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Kami menerima permintaan dari seluruh Negeri Melaka, malah pelanggan dari Jasin dan Alor Gajah turut menggunakan perkhidmatan kami,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Mohammad Azizi, sebidang karpet yang dicuci memerlukan masa lebih kurang seminggu untuk disiapkan, bergantung kepada keadaan cuaca bagi memastikan hasil cucian bersih dan selamat digunakan.
“Dalam sehari kita akan cuci lebih kurang 10 bidang karpet menggunakan mesin ‘scrubber’ dan jet air untuk membuang habuk dan kotoran yang melekat pada karpet.
“Karpet yang dicuci akan berdepan beberapa kaedah bermula dengan memberus, menyah habuk, bilasan pewangi, sanitasi serta pelbagai lagi.
“Selepas siap dijemur karpet yang siap akan dibungkus dan dibalut dengan plastik dan kita akan pastikan ia akan menjadi umpama karpet baharu sebelum dibeli oleh pemiliknya,” katanya.
Tambahnya, untuk tahun ini sahaja, dia bersama seorang pekerjanya terpaksa menggandakan jumlah cucian sehari dan menganjakkan waktu perkhidmatan dari jam 8 pagi sehingga jam 2 petang berbanding hari biasa yang hanya akan tamat pada jam 11 pagi.
Walaupun banyak kerja perlu dilakukan, namun dia hanya mengenakan caj yang berpatutan kepada pelanggan iaitu antara RM1 hingga RM2 bagi ukuran sekaki karpet, selain menyediakan khidmat penghantaran percuma.
Dalam pada itu, Mohammad Azizi turut meluahkan rasa syukur apabila perniagaannya yang kini umpama tumbuh kembali selepas hampir ‘diragut’ COVID-19 tiga tahun lalu.
“Alhamdulillah tahun ini permintaan meningkat 50 peratus berbanding sebelum ini. Perkhidmatan dobi yang dijalankan juga turut menerima perkembangan positif apabila kami tidak menang tangan menerima tempahan cucian pakaian dan langsir.
“Sebab itu kita terpaksa tutup permintaan untuk cucian karpet lebih awal sebab kita juga perlu menyiapkan tempahan cucian lain di premis ini,” katanya yang memaklumkan kini hanya tinggal tiga pengusaha khidmat mencuci karpet berpremis di Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.