Melaka akan umum cuti sempena sejarah perisytiharan kemerdekaan negara

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MASJID TANAH 9 April – Cuti umum sempena hari perisytiharaan kemerdekaan negara yang sebenarnya bermula di Melaka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cuti yang dinamakan Hari Perisytiharan Kemerdekaan Malaysia itu memetik sejarah asal peristiwa kemerdekaan negara di mana 20 Februari 1956 adalah peristiwa asal kemerdekaan negara diumumkan di negeri ini.

Katanya, hari berkenaan adalah sejarah yang perlu diketahui rakyat apabila Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman menerima kelulusan daripada British untuk merdeka.

“Bumi pertama melaungkan kemerdekaan adalah di Banda Hilir kerana di situlah sejarah pertama bendera Union Jack diturunkan lalu dinaikkan bendera Malaysia

“31 Ogos 1957 adalah tarikh rasminya tetapi tarikh perisytiharaannya di bumi Melaka, jadi  Kerajaan Negeri mengambil langkah supaya hari perisytiharan ini adalah hari paling bersejarah di bumi Malaysia yang bermula di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Negeri Melaka di Pasar Ramadan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama Timbalannya, Tuminah Kadi serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata tarikh sebenar bagi cuti umum itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas  kajian dan rujukan lanjut dijalankan  bersama Arkib Negara Malaysia.

Berikutan itu katanya, cuti umum sedia ada akan dipindahkan atau digantikan dengan cuti peristiwa terbabit dan ia tidak akan ditambah mahupun dikurangkan.

“Cuti mana yang kita akan ambil nanti kita akan umumkan dan ia berkuatkuasa bermula tahun hadapan.

“Pengisian hari bersejarah itu kita akan lakukan dengan pelbagai pengisian sejarah supaya nikmat daripada kita merdeka dan terlepas daripada penjajahan lebih 400 tahun akan dijadikan teladan untuk generasi akan datang dan melihat bagaimana sejarah ini di Melaka merupakan lokasi segala-galanya di bumi Malaysia ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

15647
Kongsi :
Previous post CUEPACS cadang gaji diawalkan 14 April
Next post 47 peniaga di Bazar Ramadan Rahmah di Melaka sedia makanan harga murah
Ubah saiz-+=