Sorting by

×

Kilang fucuk goreng diserbu

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERKAM 23 Okt. – Sebuah kilang memproses fucuk goreng di Umbai, Melaka diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka selepas dipercayai melakukan kesalahan berkaitan penakrifan halal.

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, serbuan menerusi Operasi Halal itu dijalankan berdasarkan aduan dan hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan menggunakan logo halal dengan cara yang mengelirukan.

Menurutnya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,225.

“Kes telah diambil Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Melaka pada 22 Oktober 2020, melibatkan kesalahan berkaitan Per. 8a PPD (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, sejak 1 Januari hingga 22 Oktober 2020, sebanyak 17,400 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang.

Selain itu, jelasnya, KPDNHEP Negeri Melaka juga telah menerima sebanyak 775 aduan rasmi, yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga.

“Sehingga semalam, sebanyak 216 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 636,206.85 yang terdiri dari semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

“Sebanyak RM114,050 kompaun dan RM187,500 denda telah dikeluarkan meliputi semua kesalahan yang telah diambil tindakan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, orang ramai juga boleh menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan juga ingin menyalurkan aduan, boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Putrajaya di talian 03-88826088 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Views:

812
Kongsi :
Previous post Kumpul 1,913 kg sisa elektronik dalam sehari
Next post COVID-19: Boleh kompaun di stesen minyak
Ubah saiz-+=