Agong, Raja Permaisuri berangkat tiba di Melaka
BATU BERENDAM 5 April – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba untuk lawatan dua hari ke Negeri Melaka, bermula hari ini.
Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda berdua berserta pengiring selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini, jam 11.56 pagi tadi.
Turut mengiringi pasangan Diraja itu, anakanda Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.
Ketibaan Baginda berdua disambut Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.
Turut menyambut ketibaan pasangan Diraja itu Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari serta barisan Exco.
Petang ini Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat melawat Bazar Ramadan Peringgit, selain turut berkenan ke Majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razak, Bachang, seterusnya berbuka puasa bersama rakyat.
Sebelum berangkat pulang, Baginda dijadualkan menerima mengadap Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Majlis Penyampaian Cendera Kenangan Kerajaan Negeri Melaka kepada Seri Paduka Baginda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.