Perlu dua minggu sesuaikan diri jadi Exco – Allex
SERI NEGERI 5 April – Menjadi wakil tunggal Pakatan Harapan (PH) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Allex Seah Shoo Shin bertekad untuk menggalas tanggungjawab tersebut sebaiknya demi rakyat dan Negeri Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang itu dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Shoo Shin atau dikenali sebagai Allex, untuk dua minggu pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Exco, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua agensi dan penjawat awam terbabit di bawah portfolionya.
Katanya, ia penting bagi mendapatkan gambaran sebenar tugas dan tanggungjawab yang digalasnya.
“Saya perlu bertemu dengan semua yang terlibat kerana saya masih perlu banyak belajar memandangkan ini merupakan kali pertama saya bergelar Exco dan perlu menyesuaikan diri.
“Pertemuan itu juga penting untuk mengeratkan hubungan di antara saya bersama jabatan dan agensi dan seterusnya dapat menyelesaikan segala isu bersama-sama,” katanya pada sidang media.
Dalam pada itu, mengulas sama ada pelantikannya mendapat sokongan empat lagi Adun Pakatan Harapan, Allex memaklumkan perkara itu telah dibincangkan setelah kesemua mereka dijemput menyertai Kerajaan Perpaduan Melaka secara aman dan damai.
“Saya percaya kerjasama pada hari ini akan menampakkan politik yang matang tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.
“Saya percaya matlamat utama semua di pihak Kerajaan Negeri kini adalah untuk bekerjasama bagi membangunkan Negeri Melaka dan menyelesaikan masalah rakyat bersama-sama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.