‘Terima kasih cikgu belikan baju raya’
AYER KEROH 4 April – Kegembiraan nyata terpancar pada setiap wajah anak-anak asnaf dan yatim Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang (SKJDP) apabila diberi peluang memilih sepasang pakaian baharu sendiri untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Penerima sumbangan, Nur Insyirah Batrisyah Muhammad Shazliee,9, ketika ditemui begitu teruja kerana diberikan peluang untuk memilih baju raya sendiri kali ini.
“Bila cikgu cakap saya dapat sumbangan baju raya, rasa terkejut juga sebab tak sangka pula dipilih kali ini, sampai je pasar raya pagi tadi saya terus cari pakaian sendiri.
“Terima kasih cikgu (pihak sekolah) sudi berikan sumbangan baju raya, dapatlah saya beraya dengan baju baharu tahun ini, biasanya saya pakai baju lama sahaja,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sebuah pasaraya di sini, hari ini.
Terdahulu Nur Insyirah Batrisyah menerima sumbangan baju raya pada Program Sumbang Kasih Pembelian Pakaian Raya Kepada Murid Asnaf dan Yatim SKJDP Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 yang disampaikan Guru Besarnya, Rosmi Abdul Rasid, hari ini.
Seorang lagi Muhammad Syafawie Esham,12, bersyukur diberikan rezeki tahun ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan pakaian baharu bewarna ungu.
“Alhamdulillah, seronok sangat dapat pilih baju raya sendiri, saya ambil warna ungu sebab memang tema keluarga tahun ini. Terima kasih pihak sekolag sudi berikan bantuan baju raya,” katanya.
Manakala Nur Darwisyah Mohd Nor Iman, 11, menjadi orang pertama dalam keluarganya yang sudah membeli pakaian untuk menyambut Aidilfitri.
“Syukur dapat baju raya baharu, saya orang pertama yang sudah ada baju raya sebab mak, ayah dan adik beradik belum beli lagi, tahun lepas pun dipilih untuk terima sumbangan ini, tak sangka dapat lagi tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.