MAQIS P.Pinang rampas dada ayam sejuk beku bernilai RM240,000
BUTTERWORTH, 4 April – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas konsainan dada ayam segar sejuk beku tanpa tulang bernilai RM240,000 dari Thailand di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini kerana maklumat sijil halal tidak jelas.
Pengarahnya Muhammad Ikram Abd Talib berkata pihaknya membuat pemeriksaan ke atas kontena yang membawa konsainan itu pada Sabtu lepas dan mendapati terdapat 25,000 kilogram dada ayam segar sejuk beku tanpa tulang yang dibawa masuk dari Thailand.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pengimportan dada ayam segar sejuk beku tanpa tulang bernilai RM240,000 itu tidak menyatakan maklumat sijil halal dengan jelas dan kesemua konsainan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kegagalan untuk mematuhi syarat permit import bagi pengimportan konsainan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Ikram berkata MAQIS sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara bersama agensi penguatkuasaan di sempadan negara bagi memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.