Sorting by

×

NIOSH sasar 30 premis di wilayah selatan sertai program WINA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MELAKA, 2 April –  Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Wilayah Selatan mensasarkan 30 premis di wilayah selatan meliputi Melaka, Negeri Sembilan dan Johor menyertai program Analisis Penambahbaikan Tempat Kerja (WINA) pada tahun ini.

Ketua Pejabat NIOSH Wilayah Selatan (Melaka) Abdullah Monsi Ahmad Sarbini berkata agensi itu menawarkan program WINA secara percuma kepada majikan yang berminat untuk membuat analisis di tempat kerja masing-masing.

“Ia merupakan langkah pertama kepada majikan untuk mematuhi Occupational Safety and Health (OSH) ditetapkan kerajaan bagi mengekalkan tempat kerja yang selamat kepada pekerja dalam mana-mana industri.

“WINA diperkenalkan sejak 2021 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan bagi membantu industri mewujudkan tempat kerja selamat daripada ancaman COVID-19 dan setakat ini lebih 40 organisasi telah menyertai program ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata antara premis yang menyertai WINA di Melaka termasuklah Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Perpustakaan Melaka dan kilang-kilang industri.

Katanya menerusi WINA, majikan akan diberi panduan untuk menyediakan beberapa dokumen seperti polisi keselamatan syarikat, sistem pengurusan OSH dan pelbagai lagi asas keselamatan yang diperlukan dalam mematuhi undang-undang berkaitan pekerjaan menerusi laporan dikeluarkan agensi itu selepas membuat penilaian.

“WINA juga akan mengenal pasti jenis-jenis bahaya yang mungkin berlaku ke atas pekerja di sesebuah premis atau lapangan termasuklah isu ergonomik di tempat kerja terutamanya di pejabat. Ia juga merangkumi risiko kerja-kerja di lapangan, biologi, kimia dan fizikal yang mungkin berlaku ke atas pekerja,” katanya.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1813
Kongsi :
Previous post JTDL Ramadan Madani, ‘jimat’ banyak
Next post Liputan gentian optik dijangka diperluaskan 98 peratus di Melaka
Ubah saiz-+=