Bekalan telur cukup menjelang Aidilfitri – FAMA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

MERLIMAU 2 April – Bekalan telur bagi keperluan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini dijamin mencukupi apabila sebanyak 21.5 juta telur diedarkan ke seluruh negara sehingga semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, jumlah itu termasuk pertambahan bekalan telur gred AA, A dan B yang dikatakan berkurangan di beberapa negeri terutama di Pantai Timur baru-baru ini.

Katanya, FAMA juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan telur ayam ke seluruh negara.

Beliau berkata, kuota itu diberikan kepada FAMA untuk tingkatkan bekalan di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang mengalami kekurangan bekalan kerana tiada pengeluaran kilang besar di kawasan itu.

“Sehingga 31 Mac, FAMA telah mengedarkan sebanyak 21.5 juta biji telur melalui 369 outlet pemasarannya di seluruh negara.

“Namun FAMA difahamkan pihak pengeluar cuba untuk memenuhi keperluan pengguna tetapi penghasilan bagi telur gred tersebut juga bergantung kepada umur ayam yang diternak.

“Secara keseluruhan kita mempunyai banyak pilihan termasuk telur omega dan telur kampung yang mempunyai saiz membolehkan pengguna membuat pilihan manakala, kebanyakan telur gred  permintaannya meningkat di bulan puasa berikutan ia adalah bahan asas yang digunakan untuk membuat kuih, kek, biskut raya dan juadah berbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Ramadan Madani @ Pasar Tani Merlimau di sini hari ini.

25EE0880-8DC1-4309-89C2-6CCE8B6C14B2
Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri mengadakan sidang akhbar selepas program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Ramadan Madani @ Pasar Tani Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata Melaka antara negeri yang dipertanggungjawab untuk  melaksanakan program intervensi sejak November lalu bagi memastikan bekalan telur di seluruh negara mencukupi.

Katanya, Melaka menjadi pembekal utama telur negara melalui enam ladang ternakan ayam terbesar di negeri berkenaan.

“Intervensi ini diteruskan sehingga Jun tahun ini, namun penilaian semasa akan dilakukan sama ada perlu diteruskan lagi sehingga hujung tahun.

“FAMA memperoleh bekalan dari tujuh negeri pembekal utama komoditi itu Melaka, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

906
Kongsi :
Previous post Insya-Allah saya laksanakan tanggungjawab saya
Next post Gedung pakaian gamat, anak yatim girang terima baju raya baharu
Ubah saiz-+=