Sorting by

×

Melaka tangguhkan perarakan Maulidur Rasul

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 22 Okt. – Perarakan Maulidur Rasul peringkat Negeri Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober depan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat berkata, penangguhan program itu yang membabitkan perhimpunan ramai terpaksa dilakukan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya sambutan peringkat kecil-kecilan yang diadakan secara tertutup dan tidak melibatkan perhimpunan ramai adalah dibenarkan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya diadakan tanpa melibatkan ‘crowd’ yang ramai boleh diadakan, namun mestilah secara tertutup dan mengikut SOP.

“Bagi program berskala besar dan melibatkan perhimpunan ramai, kita terpaksa tangguhkan ke satu tarikh yang dimaklumkan kelak bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa negeri memastikan pandemik COVID-19 dapat ditangani dengan baik.

“Jika diikutkan, situasi di negeri ini tidaklah terlalu serius tetapi kita mengambil langkah proaktif untuk membendung sesuatu yang tidak diingini di kemudian hari,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini, Md Azhan berkata, ibadah itu masih dibenarkan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Jelasnya antara SOP yang ditetapkan termasuklah memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan.

Views:

1178
Kongsi :
Previous post Aplikasi arah kiblat tidak tepat
Next post Dalang kes sisa toksik sedang dicari
Ubah saiz-+=