Ketupat bersama serunding kelapa, sambal bilis laris 20 tahun
DUYONG 28 Mac – Keenakan resepi serunding kelapa dan sambal bilis yang diwarisi daripada arwah isterinya menjadi ‘pelaris’ kepada jualan ketupat apabila gerai milik warga emas di Kampung Duyong, di sini, menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan menu raya itu.
Menurut Othman Salleh, 76, gerai itu diusahakannya kira-kira 20 tahun lalu apabila menjadikan ketupat, serunding kelapa dan sambal bilis sebagai sajian utama meskipun dijual pada hari biasa kerana ianya menjadi pilihan penduduk untuk dijadikan juadah harian.
Katanya, bagaimanapun permintaan untuk ketupat akan meningkat sepanjang Ramadan apabila setiap hari kira-kira 1,000 biji ketupat perlu dibuat dan jumlah itu akan bertambah mencecah belasan ribu biji pada penghujung puasa.
“Idea menjual ketupat ini saya dapat dari seorang orang lama ketika berniaga roti canai 20 tahun dulu, dari dia saya belajar dan arwah isteri pula pandai memasak jadi sambal bilis dan serunding kelapa itu daripada resipinya. Tidak sangka mendapat sambutan sehingga kini.
“Meskipun kini, ia sudah diusahakan oleh anak bongsu lelaki namun tetap menggunakan resepi sama. Semestinya sepanjang Ramadan ini kami agak sibuk bukan sahaja untuk menyiapkan ketupat jualan tetapi juga tempahan,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Kampung Duyong, Jalan Semabok, hari ini.
Warga emas itu berkata, meskipun penyediaan membuat dan memasak ketupat itu kelihatan senang namun kesabaran yang tinggi diperlukan kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya 10 jam bagi merebus ketupat itu untuk menghasilkan tekstur yang baik serta tahan lama.
“Ia boleh dimasak dalam tempoh yang sekejap namun tekstur dan rasanya pasti akan lain malah ketupat juga tidak akan tahan lama. Menurut pelanggan mereka memilih ketupat di sini kerana tidak sama dengan yang dijual di luar sana malah boleh tahan sehingga lima hari.
“Pelanggan kami bukan sahaja dari sekitar Melaka tetapi dari luar termasuk pelancong asing juga, malah ketupat ini juga sudah dibawa hingga ke Jepun serta Arab Saudi,” katanya.
Ujarnya, meskipun berdepan kenaikkan harga barangan namun anaknya Ahmad Zaim, 32, masih mengekalkan harga jualan dengan memastikan harga dikenakan mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
“Sejak lima tahun lalu kami masih mengekalkan harga dengan menjual RM5 bagi empat atau lima biji ketupat, bergantung kepada saiznya begitu juga rendang ayam dan daging turut dijual dengan harga RM5. Bagi lauk lain seperti paprik kaki ayam dan hati ayam goreng pula RM3 sebekas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.