Sorting by

×

9,000 anak yatim Selangor, Melaka terima sumbangan RM1.4 juta

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PANTAI KUNDOR 23 Mac – Lebih 9,000 anak-anak yatim di Negeri Selangor dan Melaka akan menerima sumbangan berterusan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, Melaka turut tidak terkecuali menerima sumbangan yayasan itu yang disampaikan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj (RAYSAS) terletak di Kilometer 17, Pantai Puteri.

Jelasnya, sumbangan dengan peruntukan RM1.4 juta itu diagihkan bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim terus dijaga demi pembangunan pendidikan serta keselesaan mereka mereka.

“Hari ini kita bergerak ke Melaka di mana rumah anak yatim ini berada di luar jajahan Selangor dan ini merupakan aktiviti tahunan yang perlu dilaksanakan Tuanku Sultan mahupun Raja Muda Selangor untuk mengagihkan sumbangan setiap kali awal Ramadan sejak sekolah ini terbina.

“YIDE akan terus mengagihkan bantuan sumbangan seperti ini kepada semua rumah anak yatim yang berada di bawah kelolaan kami sepanjang bulan ini bagi memastikan kebajikan mereka terus tetap terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program sumbangan Hari Raya Kepada Anak Yatim RAYSAS, di sini, hari ini, yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Terdahulu, pada program itu, baginda telah mencemar duli mengagihkan bantuan sumbangan berjumlah RM7,800 untuk diagihkan kepada 26 penerima selain turut menyampaikan bantuan kain pelikat dan 100 kilogram beras untuk sekolah berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1820
Kongsi :
Previous post Raja Muda Selangor santuni anak yatim Pantai Puteri
Next post Kantin, asrama pekerja kilang cat terbakar
Ubah saiz-+=