Sorting by

×

Jamiah impi wujudkan ‘bakery anak istimewa’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 23 Mac – Kerjaya sebagai guru pendidikan khas mendidik anak-anak istimewa di sekolah berjaya membuka hati Jamiah Tulisman, 49, menjadikan kedai bakerinya sebagai tempat melatih anak-anak istimewa.

Ibu kepada empat anak ini mempunyai impian mewujudkan sebuah kedai ‘bakery anak istimewa’ bagi memberi peluang kepada anak-anak tersebut berjaya dalam kehidupan sama seperti insan lain.

Katanya, idea melatih anak-anak istimewa itu tercetus apabila dia mula membuka kedai ‘Unique Bakery’ pada tahun 2020 iaitu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

“Memang tujuan utama saya buka kedai ini untuk membantu anak-anak istimewa, pada awalnya saya hanya melatih lima orang anak istimewa di rumah sahaja, apabila sudah ada kedai saya latih mereka di kedai pula.

“Dari mereka tidak tahu apa-apa sehinggalah pandai membuat roti dan kek sendiri, saya ajar mereka perlahan-lahan dengan penuh kesabaran bagi memastikan segala ilmu disampaikan dapat dimanfaatkan.

“Ditambah pula dengan pengalaman saya sebagai guru pendidikan khas selama 16 tahun, ia memudahkan saya untuk mengendali mereka,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kedainya di Cheng, di sini.

WhatsApp Image 2023-03-22 at 16.23.15 (1)
ANAK istimewa yang dilatih di kedai Jamiah.

Menurut Jamiah, biarpun kini anak-anak istimewa tersebut sudah mempunyai hala tuju sendiri, dia sentiasa membuka peluang untuk meneruskan impian itu kepada anak-anak istimewa yang lain.

“Untuk membayar gaji yang besar mungkin saya tidak mampu, tetapi dengan cara membawa dan melatih mereka di sini sudah pasti mereka dapat satu pengalaman dan ilmu baharu.

“Bukan mudah untuk bahagikan masa mengajar dan menguruskan kedai, tetapi demi sayangkan anak-anak istimewa saya cuba juga mendidik mereka dalam bidang seni bakeri,” katanya yang sudah menjadi warga pendidik hampir 27 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2197
Kongsi :
Previous post Hilal Ramadan jelas di Tanjung Bidara
Next post 9 masjid, 22 surau terima sumbangan kurma
Ubah saiz-+=