Kompleks Air Panas Gadek bakal gamit 360,000 pengunjung – KM
GADEK 20 Mac – Kompleks Air Panas Gadek yang dinaik taraf berkonsepkan spa dan wellness dijangka akan menarik kira-kira 360,000 pengunjung bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kompleks tersebut dinaik taraf di atas tapak lama Kolam Air Panas Gadek seluas 4 hektar dan dijangka siap pada Ogos tahun ini.
Katanya, kerja-kerja naik taraf tersebut menelan kos berjumlah RM 17.9 juta.
“Kompleks Air Panas Gadek ini akan berasaskan kesihatan melalui mandian air panas semulajadi yang mengandungi sulfrik.
“Selain mampu menarik ratusan ribu pelancong dalam dan luar negeri, pusat pelancongan keluarga ini juga akan mewujudkan lebih 70 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.
“Apabila siap nanti, kompleks ini akan menyediakan kemudahan penginapan sebanyak 20 unit bilik hotel dan lapan unit chaley berkembar kepada pengunjung.
“Selain itu, kompleks ini turut mempunyai 12 komponen lain seperti bangunan pejabat, surau, tandas, bilik persalinan, dewan terbuka, taman tema air (suhu biasa), pondok pengawal dan pintu gerbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Tapak Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek VP Shanmugam.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kompleks itu juga bakal beroperasi pada awal tahun depan dengan membawa limpahan manfaat kepada rakyat Melaka.
“Apabila sudah dibuka, kompleks ini mampu memberikan peluang perniagaan kepada warga setempat dan dijangka dapat melahirkan lebih 10 usahawan baharu.
“Kompleks Air Panas Gadek ini merupakan salah satu khazanah negara serta ikon pelancongan Negeri Melaka yang termaktub dalam 138 tarikan utama Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.