11 pelancong Singapura cedera, seorang parah, van persiaran terlibat kemalangan
JOHOR BAHRU, 20 Mac – Sebanyak 11 pelancong warga Singapura cedera ringan manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 139.9 Lebuhraya Utara Selatan Arah Selatan, dekat Pagoh di Muar, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, kesemua 12 pelancong yang menaiki van persiaran terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres membawa 28 penumpang serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-30 dan Honda HR-V.
Bagaimanapun beliau berkata kesemua 28 penumpang bas tersebut terselamat dan hanya pemandu bas dan seorang penumpang Mazda mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru yang berada di lorong kiri, telah melanggar van persiaran di hadapannya, sebelum van tersebut melanggar Mazda di depannya.
“Mazda berkenaan kemudian telah merempuh sebuah Honda HR-V di hadapannya, sekali gus menyebabkan empat kenderaan terbabit dalam nahas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas berkenaan adalah negatif dan bebas daripada pengaruh alkohol.
Raiz Mukhliz berkata kesemua individu yang mengalami kecederaan di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Farid Mohd Sarjan menerusi kenyataan berasingan berkata sembilan anggota termasuk empat dari BBP Muar dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
“Empat mangsa didapati tersepit di dalam van persiaran itu dan kesemuanya berjaya dikeluarkan,” katanya sambil menambah operasi tamat pada pukul 6.52 petang.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.