Melaka lokasi kajian pelan strategik pengangkutan awam – KM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 16 Mac – Melaka dipilih sebagai lokasi kajian menghasilkan pelan strategik pengangkutan awam negeri yang dijalankan dengan kerjasama Kerajaan United Kingdom (UK).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 iaitu Pelan Induk Pelaksanaan Pengangkutan Hijau (GTIMP).

Sulaiman berkata menerusi dokumen itu dua program intervensi diperuntukkan untuk dilaksanakan di Negeri Melaka iaitu ‘Green Bus Network Implementation Plan’ dan ‘Heritage Area Integrated Mobility Plan’.

“Pelaksanaan pelan strategik bersepadu ini, akan membantu mengatasi masalah kesesakan di Melaka, melalui keberkesanan perancangan jalan raya, meningkatkan perkhidmatan pengangkutan bas awam henti-henti dan menangani ‘the fist and last mile issues’ dengan usaha mengintegrasi serta mempelbagaikan mod perjalanan yang saling berhubung.

“Pelan ini juga menggariskan keperluan untuk menyediakan fasiliti sokongan yang baik seperti perhentian bas, aplikasi sokongan pintar seperti ‘journey planner’ di samping cadangan melaksanakan mod pengangkutan awam masa hadapan seperti tram dan ‘Rapid Transit Automatik’ (ART) yang dikhaskan dalam pelan tersebut.

“Selain itu pelan ini juga menggariskan cadangan mengubah landskap kawasan warisan menjadi lebih mesra pejalan kaki dan mengutamakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penggulungan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada hari keempat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke -15, di sini, hari ini.

Katanya usaha itu juga mampu meningkatkan kualiti alam sekitar, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Melaka.

“Paling penting usaha ini membuka peluang lebih luas kepada peniaga dan penjaja kecil untuk menerima manfaat tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2586
Kongsi :
Previous post Jadikan Melaka hub ekonomi hijau – KM
Next post Satria Melaka bantu mangsa banjir Batu Pahat
Ubah saiz-+=