Sorting by

×

Melaka cadang 13 tapak baharu rumah PPR – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 16 Mac – Kerajaan Negeri mencadangkan sebanyak 13 tapak baharu pembinaan perumahan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu golongan sasar yang memerlukan di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, perumahan itu akan didirikan di atas tanah seluas 36 hektar dengan menyediakan sebanyak 2,904 unit rumah.

“Pembinaan rumah PPR di negeri ini bergantung kepada permintaan penduduk setempat serta mengikut rekod terperinci Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan cadangan ini telah dibawa kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Setakat ini (ia) masih di peringkat permohonan, kita masih belum menerima keputusan sepenuhnya daripada KPKT, tetapi setakat ini sudah ada dua pembinaan rumah PPR baharu iaitu di Klebang dan Tangga Batu.

“Dari segi permintaan Melaka memang mempunyai keperluan untuk membina rumah PPR kerana permintaan yang tinggi dan kita punyai tapak cukup untuk pembinaan rumah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri hari keempat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke -15, di sini, hari ini.

photo1678939620
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan pada sidang media sempena hari keempat Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu Zaidi menjawab soalan tambahan Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) mengenai cadangan bagi pembinaan rumah PPR di kawasan luar bandar semasa persidangan itu.

Tambah Zaidi, selain menunggu kelulusan KPKT, terdapat tiga projek perumahan PPR yang akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Lendu dan Tanjung Bidara.

“Pembinaan melibatkan pihak swasta ini kerana kita memerlukan rumah PPR dengan kadar segera bagi memenuhi permintaan rakyat di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2715
Kongsi :
Previous post Melaka sedia adakan ‘townhall’ berkaitan projek M-WEZ
Next post Chalet terapung bakal majukan semula Pulau Melaka – Ab Rauf
Ubah saiz-+=