Persatuan sukan di Melaka jangan berpuak-puak
SERI NEGERI 16 Mac – Kerajaan Negeri meminta semua persatuan sukan di negeri ini bergabung di bawah satu persatuan induk bagi memastikan segala pertandingan dianjurkan yang melibatkan atlet-atlet di negeri ini lebih terjamin.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata usaha itu bagi memastikan semua atlet yang berpotensi tidak ketinggalan dan boleh dibawa sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Sebenarnya saya akui memang lebih banyak atlet-atlet luar persatuan, tetapi saya berpendapat ada persatuan-persatuan yang mengutamakan ahli-ahli mereka sahaja.
“Tetapi kita di sini kena bersama memastikan atlet-atlet yang berpotensi ini diberi bimbingan, kalau mereka cemerlang kita syorkan mereka masuk atau berdaftar dengan persatuan induk.
“Saya mahu semua persatuan sukan di negeri ini bergabung tenaga menjadi satu persatuan induk yang baik, yang mana tidak ada politik dan boleh dianggotai semua ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai langkah atau dasar dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memberi jaminan kepada atlet di negeri ini pada hari keempat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke -15, di sini, hari ini.
Ujarnya setakat ini terdapat sebanyak 31 persatuan sukan yang berdaftar dan diberi peruntukan oleh Kerajaan Negeri untuk menganjurkan kejohanan masing-masing.
“Antara usaha Kerajaan Negeri untuk majukan sukan di Melaka termasuklah memberi peruntukan sejumlah RM500,000 bagi pembangunan belia dan sukan di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.