RM23.4 bilion sasaran Tahun Melawat Melaka 2024
SERI NEGERI 14 Mac – Tahun Melawat Melaka 2024 dijangka mampu membawa pulangan sehingga RM23.4 bilion dengan sasaran kemasukan 18.7 juta pelancong domestik dan antarabangsa.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sebanyak 19 acara utama direncanakan pada 2024 nanti.
Jelasnya antara 19 acara pelancongan utama bertaraf antrabangsa akan dilaksanakan adalah ‘Melaka Chinese New Year’, ‘Raptor Watch’, Melaka Berselawat, ‘Melaka International Boat Festival’, ‘Melaka Food Festival’, ‘Melaka Multisport Festival’, ‘Melaka International Muay Thai’, ‘Melaka Durian Fiesta’ dan ‘Melaka Mega Concert’.
Katanya sebagai persediaan Kerajaan Negeri turut mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 menggunakan konsep ‘3M’ iaitu Mesra, Mudah dan Mampu.
“Pemulihan industri pelancongan Negeri Melaka telah mencapai 70 peratus dan disasarkan pulih sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
“Kita juga akan mewujudkan pakej pelancongan yang lebih kompetitif iaitu selama empat hari tiga malam dengan kerjasama ejen-ejen kembara selain memperkenal produk pelancongan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-Rim) mengenai persediaan Kerajaan Negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua, hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata satu Sekretariat Khas Tahun Melawat Melaka 2024 diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari akan ditubuhkan bagi memperhalusi program terbesar negeri pada tahun hadapan.
“Sektretariat ini ditubuhkan dengan objektif untuk memastikan Tahun Melawat Melaka 2024 dapat dicapai dan meraih kejayaan.
“Antara objektif lain, menerusi sekretariat ini juga kita akan perkenalkan ikon, maskot, tema dan logo Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.