Ramai yang akan terkesan, jika penoreh getah ‘merajuk’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 21 Okt. – Rungutan penoreh getah susulan ketidaktentuan harga getah perlu segera didengari pihak atasan bagi mengelakkan industri itu berkubur di kemudian hari.

Itu yang disuarakan seorang peraih dari Masjid Tanah, Rustam Ma’ali, 35 yang meminta penyelesaian segera dapat dicari oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi berkaitan untuk membantu penoreh getah.

Jelasnya, sebagai peraih, dia kerap mendengar rungutan penoreh getah yang mengadu harga getah masih berada di tahap yang rendah, yang mana ia dikhuatiri membuatkan mereka mula hilang semangat untuk keluar menoreh, sekali gus membuatkan ramai pihak akan terkena tempias.

“Bukan sahaja saya sebagai peraih akan terkesan, tetapi ramai lagi. Bila tiada getah, macam mana saya nak berniaga. Dan bila saya tak berniaga bagaimana dengan kilang-kilang yang memproses getah? Bagaimana pula dengan nasib pekerja-pekerja kilang itu?

“Ramai yang akan terkena tempias jika harga getah kekal di paras yang rendah terutama bila jatuh di bawah harga RM2.00 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sebuah kebun getah di sini, hari ini.

Katanya lagi, meskipun LGM sudah tampil membantu dengan memberikan Insentif Pengeluaran Getah (IGP) dengan menetapkan harga lantai sebanyak RM2.50, namun rata-rata penoreh yang dijumpainya menyifatkan bantuan itu masih belum cukup dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar.

Justeru, dia mencadangkan agar pihak LGM dapat menaikkan harga lantai getah sehingga RM3.00 sekilogram bagi membantu nasib pekebun kecil itu.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, harga lantai RM2.50 masih belum cukup, jika harga itu ditingkat kepada RM3.00 mungkin ia dapat membantu.

“Lagi pun, untuk tingkat pengeluaran getah, mereka perlu berbelanja lebih RM100 untuk beli baja. Dengan harga getah sekarang, rata-rata penoreh tidak mampu dan sebab itulah perlunya harga lantai itu ditingkatkan,” katanya lagi.

Views:

917
Kongsi :
Previous post Rintihan si penoreh getah
Next post Bapa dakwa anak dilempang guru
Ubah saiz-+=