Leka bertaruh judi ‘bola golek’ enam termasuk wanita warga asing dicekup
AYER KEROH 10 Mac – Enam individu termasuk seorang wanita warga asing dicekup selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan ‘judi bola golek,’ di sebuah premis di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, Rabu lalu.
Serbuan kira-kira jam 10.45 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota bahagian siasatan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama ‘Task Force’ Balai Polis Batu Berendam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika serbuan dijalankan dua lelaki didapati sedang leka bertaruh.
“Sementara itu dua lagi lelaki tempatan yang juga penjaga premis ditahan di tingkat bawah bangunan itu. Pemeriksaan lanjut dijalankan di tingkat atas pula kami menahan dua lagi individu termasuk seorang wanita warga asing.
“Wanita berkenaan disyaki menjadi penganjur judi berkenaan, siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata selain tangkapan keatas enam suspek yang berusia 26 hingga 42 tahun itu, polis turut merampas peralatan dan sejumlah wang tunai.
“Siasatan awal dilakukan juga mendapati aktiviti perjudian ini sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dan mereka berselindung disebalik perniagaan aksesori telefon.
“Kesemua mereka kini direman tiga hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.