Malaysia jana RM4.8 bilion menerusi 80,000 digital nomad
BANDA HILIR 10 Mac – Malaysia dijangka meraih pulangan ekonomi lumayan sehingga RM4.8 bilion dengan sasaran kehadiran 80,000 nomad digital ke lebih 2,000 hab De Rantau seluruh negara menjelang 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts. Mahadhir Aziz berkata, program di bawah Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) itu mensasarkan hab De Rantau akan menjadi pilihan 2,000 nomad digital menjelang hujung tahun ini.
Jelasnya nilai ekonomi sebanyak RM 4.8 bilion disasarkan adalah dalam bentuk perbelanjaan kepada ekonomi domestik negara.
“De Rantau turut memberi faedah melalui perkongsian maklumat, kepakaran dan kemahiran kepada pasaran tenaga kerja dengan nomad digital dari seluruh dunia.
“Setakat ini ada 807 hab De Rantau seluruh Malaysia yang telah berdaftar, daripada jumlah itu 42 adalah dari Melaka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran De Rantau @Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Terdahulu program itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.
Mengulas lanjut, Ts. Mahadhir berkata Melaka dipilih sebagai hab De Rantau kerana lokasinya yang strategik selain bersesuaian dengan reputasi sebagai sebuah negeri pelancongan.
“Melaka bukan sahaja maju daripada sektor pelancongan malahan memiliki infrastruktur yang baik, tenaga kerja berkemahiran, ekosistem perniagaan kondusif, daya tarikan sejarah dan budaya yang mampu untuk menarik lebih ramai nomad digital, seterusnya pelabur ekonomi digital.
“Lokasi De Rantau seterusnya adalah di Ipoh, Perak, Johor Bahru, Johor, Kota Kinabalu Sabah dan Kuching, Sarawak yang akan dilancarkan pada tahun ini juga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.