Sorting by

×

Balai nelayan Kampung Telok Gong tunggu masa ‘ghaib’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LINGGI 21 Sept – Balai Nelayan Kampung Telok Gong, di sini hanya menunggu masa untuk ghaib akibat hakisan pantai yang makin serius.

Hakisan yang bermula sejak hujung Jun lalu bukan setakat menyebabkan pondok kayu yang menempatkan perahu dan peralatan nelayan semakin senget ke arah laut, malah mengakibatkan tandas lama di kawasan itu hampir menyembam bumi.

Nelayan, Reza Sidik, 47, berkata angin dari arah selatan yang mula bertiup pada awal Jun lalu menyebabkan sedikit demi sedikit pasir pantai ‘dikorek’ dan meninggalkan kesan lubang yang semakin melebar dari semasa ke semasa.

“Kami terpaksa menarik perahu jauh dari gigi pantai bagi mengelakkan ia dihanyutkan ombak dan ia berlanjutan hingga sekarang.

“Setiap kali hakisan semakin melebar, kami terpaksa menarik perahu semakin jauh dari gigi pantai ke daratan bagi mengelakkan kerugian,” katanya ketika ditemui di balai itu hari
ini.

Beliau menjelaskan, mereka juga terpaksa memindahkan jaring atau pukat jauh dari balai yang semakin condong ke arah laut untuk memastikan peralatan penting untuk mencari rezeki itu tidak dihanyutkan.

Jaring seperti jaring ikan senangin, tamban dan parang serta udang tidak boleh dibiarkan dalam balai berkenaan kerana ia memerlukan kos tinggi antara RM1,000 hingga RM4,000
untuk dibeli.

“Kami amat berharap kerajaan segera membantu membina benteng pemecah ombak atau ‘groyne’ yang berfungsi mengelakkan hakisan pantai bertambah teruk.

“Benteng seumpama itu sudah dibina di tempat lain yang menghadapi masalah hakisan sebelum ini dan ia mampu mengurangkan masalah hakisan pantai,” katanya.

Reza berkata, oleh sebab tiada tempat lain untuk mereka memindahkan perahu gentian kaca dan peralatan menangkap ikan, mereka terpaksa sekadar berharap tiada ribut yang bakal melanda sementara nelayan menunggu benteng berkenaan dibina.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata jurutera jabatan itu sudah menjalankan kajian di lokasi berkenaan dan mencadangkan beberapa struktur binaan yang mampu mengurangkan masalah hakisan.

“Kami sedang meneliti beberapa cadangan, termasuk pembinaan ‘groyne’ yang sebelum ini sudah dibina di lokasi lain seperti Kuala Sungai Baru, Pengkalan Balak dan Tanjun Bidara serta Tanjung Dahan.

“Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada peruntukan kerana selagi tiada peruntukan daripada kerajaan pusat atau negeri, tiada sebarang struktur yang mampu dibina,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta nelayan berikhtiar untuk menyelamatkan perahu dan peralatan menangkap ikan masing-masing sementara meninggu jabatan itu memperoleh peruntukan bagi melaksanakan kerja pembaikan pantai yang terjejas akibat hakisan yang semakin membimbangkan.

Views:

1677
Kongsi :
Previous post Wajarkah UMNO tarik diri dari PN ketika rakyat bergelut COVID-19 dan ekonomi?
Next post Nelayan rayu LKIM baiki bumbung balai nelayan
Ubah saiz-+=