Wajarkah UMNO tarik diri dari PN ketika rakyat bergelut COVID-19 dan ekonomi?
MELAKA 21 Okt. – Susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai UMNO membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin mendapat perhatian pelbagai pihak khususnya parti politik di negeri ini.
Bagi segelintir mereka, perkara diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi parti dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu, dilihat sebagai tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.
Melaka Hari Ini (MHI) tidak ketinggalan mendapatkan respon dari penggiat politik di negeri ini berhubung tindakan tersebut.
Menurut Ketua Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Negeri Melaka Dr. Mohd Aluwi Sari, dalam situasi politik negara tidak menentu, tindakan UMNO itu seolah-olah cuba menangguk di air yang keruh.
Katanya, perubahan politik bukan sahaja memberi kesan terhadap kerajaan negeri tetapi juga merencatkan usaha kerajaan dalam membantu rakyat berhadapan COVID-19.
“Paling terkesan adalah rakyat, suka atau tidak, isu ini perlu ditamatkan segera,” katanya.
Alwi menegaskan, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali juga perlu membuktikan beliau mendapat sokongan penuh untuk terus mengetuai kerajaan negeri.
“Jika tidak pergolakan politik yang sedang berlaku semakin sukar dibendung,” katanya.
Sementara itu, mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Mohamad yang merupakan ahli UMNO lebih 40 tahun lalu, menganggap tindakan itu sebagai urusan dalaman UMNO.
Kata beliau, sewajarnya parti itu menyelesaikan masalah yang dilihat masih tergantung ini kerana masih tidak dinyatakan tindakan lanjut bakal diambil.
“Sebagai ahli UMNO, saya harap perkara ini dapat dirunding dengan baik demi masa hadapan Melayu sendiri.
“Saya memang tidak setuju terhadap tindakan ini. Dari awal lagi, saya dah jangka Anwar Ibrahim tidak akan jadi Perdana Menteri selepas ramai Ahli Parlimen UMNO dan PAS membuat laporan polis mengaku tidak bersama beliau,” katanya.
Ujar Othman, orang politik sepatutnya tidak mengambil tindakan yang boleh mencemarkan bidang ini.
“Politik adalah bidang mulia yang seharusnya menguruskan kebaikan dan menyelesaikan kemaslahatan rakyat.
“Justeru, saya berharap orang politik tidak membuat percaturan yang boleh merendahkan keperibadian sendiri,” katanya.
Bagi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah Nazri Abu Kasim, tindakan tersebut perlu melihat kepada perjuangan pemimpin atasan yang terdahulu.
“Ia melibatkan nama-nama besar dalam politik Malaysia dan apa misi perbincangan itu tidak diketahui oleh umum.
“Sebab itu kerajaan sekarang terbentuk dan sebagai pemimpin bawahan, saya akur apa saja keputusan diputuskan oleh pucuk pimpinan.
“Jadi kekuatan sesebuah organisasi itu bergantung kepada keutuhan dan taat setia kepada parti sepenuhnya dan kita telah bersepakat memilih seseorang menjadi pemimpin yang dibentuk daripada perpecahan berlaku,” katanya.
Ujarnya, berbalik kepada asas, apa yang berlaku ini adalah untuk penyatuan Melayu.
“Ia adalah benda baik, jadi kalau satu pihak itu tidak bersetuju, ia tidak nampak silap kepada pemimpin tersebut, sebaliknya teras perjuangan dibentuk oleh presiden parti masing-masing yang tidak dihayati ahli.
“Jika di negeri ini UMNO membuat keputusan keluar daripada PN dan menolak kerjasama dengan Bersatu, mereka perlu melihat semula apakah asas perjuangan dibawa.
“Kalau asasnya adalah kepada penyatuan Melayu, kita kena tengok sesuatu keputusan hendak dibuat. Adakah ia bersifat peribadi? Jadi jawapan ada pada mereka sama ada hendak meneruskan kerjasama ini ataupun tidak,” katanya.