Usia bukan halangan untuk celik al-Quran
BUKIT BARU 5 Mac – Di saat anak muda lain sedang bersuka ria dan melekat bersama gajet, berbeza pula bagi Nuratiqa Amirah Muhd Amri yang lebih gemar menghafaz al-Quran ketika usia remajanya.
Anak sulung berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengakui pada awalnya kurang berminat mendalami ilmu agama, namun hasil didikan dan galakan daripada keluarga membawanya ke tahap tertinggi sehingga meraih Anugerah Pelajar Cemerlang al-Quran 2023.
Anugerah itu diterimanya pada Majlis Konvokesyen Persatuan Pengajian dan Kuliah Asas Membaca Al-Quran (PERKAMA) Kali Ke-10 Ijazah Watiqah Al-Quran 2023 di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.
Katanya, sejak usia empat tahun lagi dia sudah dididik oleh neneknya untuk mengenal dan membaca al-Quran.
“Apa yang menarik minat saya untuk sertai bacaan al-Quran adalah dorongan kerana wan (nenek) saya, dia menyuruh saya masuk kelas ini, alhamdulillah akhirnya membuahkan hasil.
“Nasihat nenek yang masih saya ingat ialah untuk saya mendalami ilmu agama supaya pada masa akan datang saya boleh menurunkan ilmu itu kepada orang lain apabila berjaya kelak,” katanya yang memasuki kelas PERKAMA sejak tahun 2020.
Selain Nuratiqa Amirah, turut menerima anugerah sama ialah seorang warga emas Aminah Adam, 68.
Aminah yang juga seorang ibu dan nenek berkata, dia mula mengikuti kelas PERKAMA pada tahun 2016 dan tidak menyangka pengajian di lewat usia mampu membantunya meraih anugerah tersebut.
“Untuk mendapat anugerah ini kita kena rajin datang kelas, berusaha sehabis baik dan konsisten dalam bacaan al-Quran.
“Sebagai ibu dan juga nenek pesanan saya kepada anak-anak muda, selagi ada hayat kita jangan lupa kan al-Quran kerana ia jaminan kita di akhirat,” kata ibu kepada lima anak ini.
Kedua-dua anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.