MMKN teliti penganjur, lokasi Bazar Aidilfitri Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BUKIT BARU 4 Mac- Pemilihan penganjur dan lokasi Bazar Aidilfitri Klebang akan dimaklumkan selepas dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada minggu hadapan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, pengumuman keputusan mengenai siapa penganjur bazar itu terpaksa dilewatkan berikutan beberapa lagi isu belum diselesaikan.

Shadan berkata antara perkara yang akan diteliti MMKN pada mesyuarat itu nanti adalah aduan yang diterima oleh kerajaan Negeri Melaka berhubung isu bazar berkenaan.

“Isu Bazar Aidilfitri Klebang, kami terpaksa ‘hold’ (tangguh) dahulu berikutan beberapa permasalahan melibatkan aduan penduduk, aduan pengguna jalan raya, aduan peniaga premis dan pelbagai lagi isu perlu diangkat untuk diselesaikan.

“Jadi Bazar Aidilfitri Klebang ini, kami akan serah kepada penganjur selepas mendapat kata sepakat dalam MMKN pada minggu hadapan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Bertemu Rakyat Townhall Session di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama pada program tersebut, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

“Setakat ini Bazar Aidilfitri Klebang sahaja yang masih diserahkan kepada penganjur manakala yang lain sudah selesai semalam. Tidak termasuk di Klebang keseluruhan ada 27 bazar Ramadan dan tujuh bazar Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2815
Kongsi :
Previous post 40,854 mangsa banjir di enam negeri di tempatkan di PPS
Next post Melaka mahu wujudkan pusat kecemerlangan berteknologi tinggi
Ubah saiz-+=