Projek RTB Sungai Duyong, tangani masalah banjir DUN Ayer Molek
AYER MOLEK 2 Mac – Pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Duyong mampu menyelesaikan masalah bencana banjir yang sering melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek serta kawasan sekitarnya sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya, Datuk Rahmad Mariman berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang aduan berhubung masalah bencana banjir di kawasannya biarpun hujan lebat berterusan melebihi 24 jam di negeri ini.
“Walaupun projek ini belum siap sepenuhnya dan hanya 21.5 peratus pelaksanaannya, tetapi ia memberikan impak tinggi kepada masyarakat di DUN ini serta kawasan Duyong.
“Buat masa ini kerja-kerja yang dilaksanakan hanya di lokasi tanah simpanan sungai atau tanah rezab sahaja, lokasi selain itu masih belum dilaksanakan atas faktor proses pengambilan tanah yang sedang diselesaikan.
“Empangan baharu juga sedang dibina bagi menggantikan empangan 25 Sungai Duyong Melaka termasuk dalam Projek RTB Sungai Duyong,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ujarnya, warga Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek sentiasa bersiap siaga untuk bertindak sekiranya berlaku bencana banjir.
“Meskipun tiada laporan banjir diterima kita sentiasa bersedia untuk bertindak jika berlaku bencana ini di kawasan Ayer Molek.
“Ini salah satu usaha kita untuk memastikan projek ini berjaya dilaksanakan selari dengan slogan saya ‘Beri Kerja Saya Kerjakan’,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.