Sorting by

×

Ketengah batik ‘clay’ Kampung Rim

Masa Membaca:2 Minit, 53 Saat

RIM 28 Februari – Batik ‘clay’ (tanah liat) dihasilkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim akan dipromosikan sehingga ke pasaran luar bagi memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat di kawasan luar bandar itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, sehingga kini komuniti di Kampung Rim sangat aktif dalam menghasilkan produk kraftangan tersebut.

Tambahnya, produk yang dihasilkan itu bukan sahaja unik, malah ia juga diklasifikasikan sebagai produk mesra alam.

“Ini antara usaha kita untuk bangunkan produk-produk dihasilkan komuniti Kampung Rim, biarpun baharu sahaja diwujudkan namun kerjasama antara kementerian serta jabatan terlibat sangat menggalakkan.

“Ini juga salah satu produk tempatan yang kita bawa pada pameran di Johor Bahru sebelum ini dan insya-Allah kita akan bawa juga ke pameran di Kuala Lumpur bulan Mac nanti.

“Sasaran kita untuk jadikan ini sebagai produk industri kraftangan yang datangnya daripada penduduk kampung, selain pembuatannya yang lebih mudah, batik ini juga sangat mesra alam berbanding batik lilin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

2
PENDUDUK Kampung Rim semasa melakukan teknik mengecop batik.

BAWA JENAMA RIM

Khaidhirah yang juga Timbalan Speaker DUN turut berhasrat untuk mempromosikan batik ‘clay’ itu sehingga ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus membawa jenama DUN Rim ke persada dunia.

“Komuniti ini saya lihat sangat aktif, impian saya nak tengok kalau ianya boleh dijadikan satu produk yang mampu dijayakan orang kampung sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Mereka (penduduk kampung) perlu ada usaha sendiri untuk pasarkan produk ini atau kita sendiri akan wujudkan bengkel khas dalam pembuatan batik clay ini,” katanya.

NAIK TARAF MEDAN SELERA

Bagi menjana ekonomi penduduk Kampung Rim, Khaidhirah berusaha membaik pulih kira-kira 10 gerai di medan selera pekan Rim demi keselesaan dan kemudahan peniaga di kawasan itu.

Beliau berkata menerusi peruntukan sejumlah RM500,000 daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diluluskan tahun lalu, usaha itu dapat dilaksanakan pada tahun ini.

“Ini adalah medan selera sedia ada, cumanya kita membaik pulih atau menaik taraf medan selera ini supaya menjadi lebih cantik dengan infrastruktur yang lengkap.

“Sebelum ini kita menaik taraf medan selera Simpang Bekoh, sekarang di Pekan Rim, dengan kos sara hidup yang tinggi saya percaya inisiatif ini dapat memberi ruang kepada orang kampung untuk menjana ekokomi,” katanya.

7
PENDIDIKAN anak-anak di DUN Rim sentiasa menjadi keutamaan Khaidhirah.

TUISYEN PERCUMA ANAK RIM

Menggunakan ‘tagline’ Keluarga Rim, Khaidhirah sentiasa memastikan pendidikan anak-anak di DUN itu terjaga dengan mewujudkan tuisyen percuma.

“Sekarang ini saya sedang mencari guru-guru yang berpengalaman di sekitar daerah Jasin dan Melaka Tengah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengajar tuisyen anak-anak DUN Rim.

“Saya tawarkan tuisyen secara percuma kerana ramai ibu bapa yang tidak mampu untuk hantar anak-anak mereka dengan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang.

“Fokus kita adalah subjek teras dalam pelajaran anak-anak ini, tuisyen ini diberikan kepada murid Darjah 5 dan 6 serta pelajar Tingkatan 3 hingga 5.

“Kalau satu subjek biasanya bayaran dikenakan RM50, bayangkan tiga atau subjek sudah mencecah berapa untuk seorang, ditambah pula kalau anak mereka ramai jadi kos akan lebih tinggi,” katanya.

Katanya, tuisyen berkenaan akan diadakan di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Rim dalam waktu terdekat.

“Sebelum ini sudah ada cumanya secara dalam talian sahaja, jadi kali ini kita akan buat secara bersemuka di Japerun Rim, insya-Allah dalam waktu terdekat kita akan laksanakan kelas tuisyen ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2179
Kongsi :
Previous post TBRM pelbagaikan tarikan untuk pikat pelancong
Next post Sidang Dewan Rakyat ditambah dua hari pada 3 dan 4 April – Speaker
Ubah saiz-+=