Tenis bukan lagi sukan golongan elit
AYER KEROH 26 Februari – Seramai 20 pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar menyertai Klinik Tenis secara percuma anjuran Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA).
Presiden MLTA, Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim berkata penglibatan pelajar ILP terbabit bertujuan untuk mempromosikan sukan tenis kepada semua golongan usia.
Katanya menerusi klinik tenis itu pelajar diberikan pendedahan mengenai asas sukan tenis daripada jurulatih MLTA.
“Matlamat kita mahu memperkenalkan konsep ‘Tennis For All’, sebelum ini ada yang kata sukan ini hanya buat golongan elit sahaja, itu tidak benar.
“Sejak beberapa tahun ini MLTA aktif menganjurkan klinik tenis percuma, peserta pula dalam kalangan pelajar sekolah, orang awam dan mereka datang secara individu.
“Jadi dengan kehadiran pelajar dan tenaga kerja ILP Selandar ini mungkin kita dapat juga mencungkil bakat baharu seterusnya melahirkan bintang tenis pada masa hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Klinik berkenaan turut dihadiri Pengarah ILP Selandar, Ts. Dr. Sabri Zainuddin bagi melihat sendiri perjalanan program.
Menurutnya ILP Selandar turut memiliki kemudahan gelanggang tenis dan sukan itu bukan perkara asing bagi mereka.
“Sukan tenis ini saya percaya, bukan untuk semua orang, ikutkan di ILP mempunyai gelanggang tenis namun telah diubah suai menjadi gelanggang futsal.
“Jadi saya harap tertubuhnya kelab tenis, gelanggang itu dapat berfungsi sepenuhnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.