Belanjawan 2023: Kerajaan Perpaduan peruntuk RM388.1 bilion – PM
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lepas.
“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.
“… dengan pembaharuan tata cara perolehan kerajaan akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Belanjawan 2023 sebelum ini dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada 7 Okt tahun lepas yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion.
Bagaimanapun, belanjawan itu tidak sempat dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Anwar berkata Belanjawan 2023 akan menjadi langkah pertama yang menelusuri kerangka pembangunan Malaysia MADANI dan menumpukan kepada 12 ikhtiar utama.
Ia juga berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan atau ketidakseimbangan.
Menurut beliau, pentadbiran Kerajaan Perpaduan bertekad atas prinsip pertanggungjawaban untuk mengawal kedudukan fiskal termasuk menangani permasalahan hutang dan pada masa sama terus menopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan.
Perdana Menteri berkata pembentangan Belanjawan 2023 yang dirumuskan sebagai Belanjawan MADANI ialah cerminan sistem nilai luhur yang mampu mendepani cabaran semasa termasuk ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.
“Setelah mendengar keluhan rakyat dan gegaran suara saudara saudari di dewan yang mulia ini, saya memilih untuk menghidang belanjawan dengan memaparkan fakta dan angka sebenar dan tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan data memukau,” kata beliau.
Anwar berkata kerajaan turut mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada lima peratus berbanding 5.6 peratus pada 2022.
Beliau berkata kerajaan bertekad mencapai tahap defisit kekal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 tertakluk kepada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.