Hikmah di sebalik pandemik COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

PADA ketika ini, seluruh dunia sedang diuji dengan penularan pandemik COVID-19 dan sejak itu, dilihat banyak pihak terkesan akibatnya dalam menempuhi kehidupan
seharian.

Di Malaysia khususnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
(PKPD) mengubah sedikit sebanyak cara kehidupan kebanyakan rakyat.

Hal ini kerana pergerakan setiap orang terbatas, tidak seperti kebiasaan malah orang ramai juga tidak dibenarkan bebas bergerak dari satu tempat ke tempat lain atau keluar bekerja atau bersosial di tempat awam atau lain-lain.

Langkah yang diputuskan kerajaan ini bertujuan menghentikan secara berperingkat penularan pandemik COVID-19 sehingga bertemunya vaksin yang bersesuaian.

Justeru, tidak mustahil jika ada segelintir yang bersikap negatif umpama tidak reda dengan takdir disebabkan kesukaran yang perlu dilaluinya ketika ini.

Allah SWT berfirman: “(Iaitu) Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Surah Ali Imran, ayat 191).

Menurut Imam Tabari dalam tafsirnya bahawa perkataan ‘haza’ (ini) dalam ayat terbabit merujuk apa saja ciptaan Allah di langit dan bumi adalah bukan sesuatu yang sia-sia.

Justeru, refleksi daripada ayat terbabit adalah bahawa setiap orang tidak perlu sedih dan terbeban ketika mengharungi kesukaran saat wabak ini.

Sebaliknya, mereka wajib menyakininya sebagai satu ujian dan di situ pasti terdapat seribu satu hikmah yang dikurniakan Yang Maha Kaya. Antara hikmah di sebalik wabak ini ialah terbukanya pintu bagi orang ramai untuk melakukan amal kebaikan.

Terzahirnya di mana semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang yang tidak putus membantu dalam menyumbang tenaga mahupun harta mereka demi kesejahteraan
orang lain.

Ada yang mengorbankan masa dan tenaga siang malam di kala orang lain beristirahat di rumah seperti petugas di baris hadapan dalam kalangan doktor, jururawat, polis dan tentera.

Ada sebahagian yang sukarela menghulurkan bantuan bekalan makanan untuk mereka yang dalam kesusahan seperti orang gelandangan, ibu tunggal dan orang yang hilang
pendapatan harian.

Sehingga di saat apabila keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) yang begitu tinggi dalam kalangan petugas hospital, maka muncul dari pelbagai pihak termasuk dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu yang bersegera menyumbang idea dan tenaga untuk menyediakannya.

Malah, ada juga individu dermawan turut mengambil berat hal ehwal masyarakat di sekeliling mereka tidak kira sama ada di kampung mahupun bandar.

Ini salah satu amal atau sedekah jariah yang besar ganjarannya di sisi syarak. Di sebalik hikmah orang lain berada dalam kesulitan, maka ada yang tampil memenuhi hajat saudaranya di mana ia sangat dituntut agama, lebih-lebih lagi ketika ini umat Islam berada di dalam bulan Ramadan.

Nabi SAW dikatakan orang yang paling dermawan ketika berada di bulan ini. Selain itu, Allah berfirman mengenai kurniaan-Nya yang digandakan terhadap dermawan:

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik
(ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia” (al-Hadid: 18).

ARTIKEL DARI MAJLIS AGAMA ISLAM MELAKA (MAIM)

Views:

773
Kongsi :
Previous post Indeks jenayah Melaka rekodkan penurunan
Next post COVID-19: Melaka catat 13 zon kuning
Ubah saiz-+=