Sorting by

×

Kibar bendera MPJ, MPAG di puncak Annapurna

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 23 Februari – Dua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bertekad untuk membawa nama Negeri Melaka ke puncak dengan menyertai ekspedisi luar biasa mendaki pergunungan Annapurna, Nepal bermula 25 Februari hingga 11 Mac ini.

Mereka ialah Mahdhar Mohd Noh, 35 dan Abdul Rahman Nordin, 51 yang masing-masing merupakan warga kerja Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Mahdhar yang merupakan Penolong Jurutera Jabatan Kejuruteraan MPJ berkata, misi itu dilaksanakan dengan satu tujuan iaitu untuk mengibar bendera MPJ dan MPAG di puncak gunung berkenaan yang setinggi 4,130 meter dari aras laut.

Katanya, ekspedisi mendaki puncak itu dijangka mengambil masa 10 hari dengan jangkaan jarak pendakian naik dan turun sejauh 150 kilometer.

“Saya fikir ini ekspedisi pendakian serta mengibar bendera di puncak gunung ini merupakan yang pertama melibatkan PBT dalam Malaysia.

“Jadi, kami menyahut cabaran ini dalam membawa nama MPJ dan MPAG sampai ke puncak bagi membuktikan dengan komimen serta iltizam tinggi cabaran seperti ini tidak mustahil direalisasikan,” katanya.

Bagi Abdul Rahman yang juga seorang Pengarah Bangunan MPAG, aktiviti mendaki gunung di Nepal merupakan kali keempat dilakukannya.

Katanya, bagi misi kali ini, persediaan rapi telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan kedua-dua mereka kekal cergas dan mampu menamatkan ekspedisi selama 15 hari itu.

“Terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuh pada ekspedisi seperti ini, pertamanya bertarung dengan cuaca sejuk yang boleh mencecah suhu negatif darjah celcius.

“Selain itu, pendakian di gunung yang melebihi ketinggian 2,500 meter juga terdedah kepada ‘Acute Mountain Sickness’ (AMS) iaitu sejenis penyakit ketinggian yang boleh menyebabkan kematian, selain berdepan isu kecederaan otot yang serius ketika mendaki.

“Sebab itulah kami melakukan persediaan setiap minggu dengan mendaki Bukit Beruang dan Gunung Datuk (Negeri Sembilan), selain mengamalkan petua mengunyah bawang putih mentah sebelum ekspedisi bagi mengelakkan risiko AMS sewaktu pendakian,” katanya.

Terdahulu, simbolik pelepasan dan penyerahan bendera kepada Mahdhar dan Abdul Rahman telah disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan.

Hadir sama, Yang Dipertua MPJ Rosemanizam Mohammed Nalif dan Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Zaidi dalam ucapannya memuji kesungguhan dua kakitangan itu dalam menunjukkan keberanian dalam menempuh cabaran daripada ekspedisi tersebut.

“Saya percaya tindakan luar biasa seperti ini mampu menghasilkan keputusan dan hasil yang luar biasa bukan sahaja terhadap diri sendiri, bahkan kepada cara kerja mereka di masa akan datang.

“Semoga semangat seperti ini menjadi contoh kepada semua warga kerja PBT Negeri Melaka dalam kita mendepani cabaran baharu menjelang Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2185
Kongsi :
Previous post Melaka mampu capai ‘cashless society’ menerusi ReDI
Next post PBT Melaka agresif tingkat produktiviti menjelang 2024
Ubah saiz-+=