KPM perlu pertimbangkan baik pulih kelas kabin di sekolah – Exco
AYER KEROH 21 Februari – Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mempertimbangkan peruntukan membaik pulih kabin yang dijadikan sebagai kelas bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di beberapa sekolah di negeri ini.
Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata ia berikutan terdapat beberapa kabin di sekolah rendah di negeri ini telah usang dan digunakan melebihi 10 tahun.
“Di Melaka ada banyak sekolah menggunakan kabin sebagai kelas untuk pembelajaran, kabin sebenarnya bukan boleh digunakan selama-lamanya.
“Saya bagi contoh Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah Masjid Tanah dan SK Tanjung Minyak yang berhormat kawasan banyak kali beritahu dalam sidang dewan yang mana ia perlu ditukar kepada kabin baharu.
“Cumanya bajet itu kita belum dapat lagi, jadi diharap tahun ini atau hadapan akan ada berita gembira untuk sekolah-sekolah yang terlibat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Tun Perak (ITP) dan Precious Education (PEN) Academy di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof Dr Mohamad Ainudin Iskandar Lee Abdullah; Pengurus Besar ITP, Hazzlan Sama dan Pengarah Urusan PEN Academy, Mohd Hauzir Husin.
Ujarnya berharap pihak KPM dapat membaik pulih kabin tersebut demi menjaga sesi pembelajaran pelajar sekolah terlibat.
“Kabin ini banyak dijadikan kelas jadi saya faham memang ada kegunaannya dan ia sepatutnya digunakan sementara sahaja, tetapi ada sekolah guna kabin ini lebih 10 tahun.
“Jadi kita tak nak pihak kementerian menganggap selagi kabin itu selamat digunakan, maka ia boleh diguna pakai.
“Kita harap ada perancangan masa depan kerana kita tahu kabin ini lama kelamaan akan rosak dan akan menyukarkan para pelajar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.