‘Rider Grab’ derma mata dan buah pinggang, beri sinar kepada pesakit lain
KLEBANG 19 Februari – Tindakan keluarga Allahyarham Muhammad Faiszudin Rasip, 25, yang bermurah hati mendermakan sepasang kornea (mata) dan buah pinggang kepada insan yang memerlukan memberi sinar harapan kepada golongan yang memerlukan.
Meskipun masih bersedih di atas kehilangan Muhammad Faiszudin, namun ahli keluarga Allahyarham telah bersetuju untuk melakukan pemindahan tersebut.
Berkongsi cerita, bapa kepada Allahyarham Muhammad Faiszudin, Rasip Aman, 51, berkata anaknya itu meninggal dunia kerana mati otak (brain death) dalam nahas kemalangan jalan raya di Cheng pada 18 Mac tahun lalu.
Katanya, anak bongsu dari lima beradik itu merupakan seorang penghantar makanan dan kecelakaan menimpa arwah ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dengan membawa makan malam untuk isteri yang baru dinikahi tujuh bulan.
Jelas Rasip, dia dan keluarga tidak tahu bahawa anak bongsu dari lima beradik itu pernah berdaftar untuk menderma organ.
“Pada awalnya ketika dimaklumkan doktor yang bertugas, kami agak berat hati, kerana arwah kemalangan pada 11 Mac sebelum masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada sehari kemudian.
“Doktor memaklumkan pada kami untuk pihak hospital melakukan ujian kepada arwah, dan seterusnya meminta kebenaran bagi pelaksanaan derma organ.
“Selepas diberikan penjelasan mengenai keadaan arwah dan pilihan tentang pendermaan organ, sebagai waris, kami sekeluarga termasuk isterinya bersetuju untuk mendermakan sepasang kornea (mata) dan buah pinggang arwah bagi tujuan transplan kepada pesakit yang memerlukan,” jelasnya dengan nada sebak.
Dia berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui dirumahnya menerusi Program We Care Family Visit Unit Perolehan Organ Hospital Melaka (UPOH), di Kilometer (KM) 327, Batu 7½ Jalan Bilal Karim, Bukit Rambai di sini hari ini.
Hadir sama, Pegawai Perubatan UPOH Melaka, Dr Fatin Rabi’ah Othman bersama wakil jururawat dan pegawai perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Dalam pada itu, isteri Allahyarham, Nurul Asyiqin Ayob, 30, berkata dia bangga dengan arwah suaminya kerana menjadi antara penderma organ dan berjaya menyelamatkan insan lain meskipun sudah meninggal dunia.
Jelas Nurul Asyiqin, dia turut berkongsi cerita bahawa pernah berborak bersama arwah mengenai pendermaan organ dan tidak sangka suaminya itu telah berdaftar sebagai penderma organ.
“Memang pernah borak dengan arwah pasal derma organ, masa itu arwah pernah luahkan betapa kesian pada mereka yang menunggu untuk mencari organ yang didermakan untuk teruskan hidup, namun saya anggap ia sekadar luahan dan bila dimaklumkan hasrat arwah sebagai pendaftar penderma organ, saya bangga dengan dia,” katanya dengan nada sebak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.