Khatan percuma bantu ringankan beban B40
PENGKALAN BATU 19 Februari – Inisiatif Pertubuhan Komuniti Legacy Group Berhad Comleg (Malaysia) melaksanakan khatan secara percuma wajar dicontohi bagi membantu golongan memerlukan.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata menerusi inisiatif itu seramai 64 kanak-kanak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu hari ini telah dikhatankan.
“Program anjuran Comleg ini merupakan usaha murni untuk membantu golongan memerlukan khususnya keluarga B40 mengkhatankan anak mereka secara percuma.
“Jika ingin membawa anak khatan di klinik swasta atau persendirian kosnya mencecah lebih RM200, jadi bila ada program begini sudah tentu memberi kelegaan kepada keluarga ini.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita sangat mengalu-alukan usaha begini sama ada melibatkan usahawan atau pertubuhan yang aktif dan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Berkhatan anjuran Pertubuhan Komuniti Legacy Group Berhad Comleg (Malaysia) di sebuah restoran di Bachang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kalsom menyeru usahawan-usahawan di negeri ini untuk sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat.
“Kita harap selepas ini akan ada lebih banyak program sebegini untuk membantu golongan memerlukan melibatkan pihak yang berkemampuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.