Sorting by

×

Polis siasat dakwaan anggota jalin hubungan sulit dengan isteri orang

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JASIN 17 Februari – Polis Melaka membuka kertas siasatan berhubung kes seorang anggota polis yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri orang sebagaimana tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu seorang lelaki mualaf berusia 40 tahun yang mendakwa seorang anggota polis berusia 36 tahun yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh menjalin hubungan dengan isterinya yang juga berusia 40 tahun.

“Setakat ini  kita sudah membuka kertas siasatan perkara itu masih dalam siasatan berikutan banyak elemen yang perlu disiasat termasuk daripada pihak forensik bagi menentukan kesahihan pengadu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana memikat atau memperdaya isteri seseorang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Terima Tugas Ketua Polis Daerah Jasin di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata orang awam diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan berikutan perkara itu masih dalam siasatan dan anggota polis terbabit masih meneruskan tugas seperti biasa.

“Dalam isu ini saya tidak berkompromi jika melibatkan salah laku anggota dan dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia), kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Dan dalam isu ini kita telah pun ambil tindakan dan sedang dalam siasatan,” katanya.

Semalam, seorang lelaki mendakwa isterinya menjalin hubungan dengan anggota polis berkenaan sejak setahun lalu dan bertemu secara senyap tanpa pengetahuannya selain bermalam di rumah ketika dia tiada di rumah.

Susulan kejadian itu, lelaki terbabit membuat dua laporan polis pada Julai dan Disember tahun lalu di Balai Polis Kandang manakala anggota polis berkenaan turut membuat laporan polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4238
Kongsi :
Previous post Ahmad Jamil, Ketua Polis Daerah Jasin yang baharu
Next post Cipta bahan pembelajaran guna barang buangan
Ubah saiz-+=