Hanya empat pelanggan

Masa Membaca:58 Saat

BANDA HILIR 19 Okt. – “Bayangkan, saya cuma dapat empat pelanggan sahaja dalam tempoh satu jam menunggu,” luah seorang peniaga, Abdul Hamid Jubaidi, 53.

Dia merupakan antara penyewa gerai di Dataran Pahlawan yang meluahkan kebimbangan akibat sambutan yang kurang memberangsangkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Akibatnya, kawasan yang dahulunya dipenuhi pelancong khususnya daripada tiga negeri berkenaan, kini lengang dan sepi.

“Kami harap ada penambahbaikan dari segi promosi pihak berwajib bagi membantu kumpulan peniaga kecil di kawasan tumpuan pelancong ini.

“Sekarang ni kami terpaksa melanjutkan perniagaan selama dua jam iaitu sehingga jam 8 malam pada hari biasa dan 10 malam pada hujung minggu untuk menarik lebih ramai pelanggan,”katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, di gerainya, baru-baru ini.

Sementara itu, tinjauan sekitar jam 1 tengah hari mendapati hanya segelintir pelanggan yang berada di gerai yang terdapat di pusat beli belah berkenaan.

Namun dapat dilihat setiap lot premis yang disewakan peniaga rata-ratanya menjual makanan tidak menerima sambutan dan hanya dikunjungi kurang daripada dua pelanggan.

Tinjauan turut mendapati, beberapa premis lain tidak beroperasi menjadikan kawasan itu semakin lengang dan sepi.

Views:

417
Kongsi :
Previous post Juruteknik gelang ‘pink’ dipenjara 14 hari, denda RM1,000
Next post Kembali selepas 10 tahun
Ubah saiz-+=