Kesan dan pindah buaya
TANJUNG BIDARA 16 Februari – Usaha mengesan dan memindahkan seekor buaya kerap dilihat berkeliaran di perairan Tanjung Bidara dan Kuala Linggi akan dijalankan bermula Isnin ini.
Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Mohd Azizan Daud berkata, usaha itu adalah susulan aduan yang diterima daripada pengusaha chalet di pantai peranginan berkenaan selain komuniti nelayan.
Beliau berkata usaha diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu dibantu 60 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan.
Jelasnya antara agensi terbabit adalah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Sebenarnya tiada ancaman daripada reptilia ini. Cuma langkah diambil adalah susulan aduan diterima, biarlah pihak terbabit berasa lega, manakala pengunjung dapat beriadah dalam suasana lebih selesa.
“Namun orang ramai tetap dinasihatkan agar sentiasa berwaspada. Kami harap usaha mengesan dan memindahkan reptilia ini berjaya dilakukan dalam tempoh dua minggu.
“Pihak Perhilitan akan memasang perangkap di lokasi dikenal pasti menjadi tempat reptilia ini berjemur atau berkeliaran,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Operasi Pemindahan Buaya Sekitar Tanjung Bidara dan Kuala Linggi di Pejabat Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Katanya jika gagal dikesan selepas tempoh dua minggu, pihaknya berharap reptilia berkenaan akan memasuki perangkap yang dipasang pihak Perhilitan.
“Jika berjaya diperangkap reptilia berkenaan akan dipindahkan ke lokasi yang akan ditentukan oleh pihak Perhilitan kelak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.