Sorting by

×

Mana ada hotel berhantu!

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 15 Februari – Sejak tular dakwaan kononnya terdapat hotel yang berhantu di negeri ini, tampil beberapa bomoh cuba untuk memberikan servis menghalau entiti itu.

Rentetan daripada keadaan itu, ada pemilik premis terpaksa memulangkan kembali duit pelanggan mereka dek kerana takut untuk bermalam di hotel sebagaimana didakwa.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim berkata hampir 20 tahun terlibat dalam industri perhotelan, isu berkenaan adalah kali pertama diterima pihaknya.

Katanya, selepas isu berkenaan tular beberapa hari lalu, ada beberapa individu mendakwa dirinya bomoh menghubunginya dan menawarkan servis untuk menghalau hantu.

“Saya cuma cakap tiada maklumat hotel berkenaan dan jika mahu selidik carilah sendiri.

“Saya sendiri sudah 20 tahun dalam bidang industri perhotelan, ini pertama kali saya terpaksa berhadapan isu sebegini, jangan disebabkan perkara begini industri pelancongan di Melaka akan terjejas.

“Mula-mula dengar isu ini saya terkejut juga, tanya hotel lain ada tak hadapi situasi yang sama tetapi tiada, kita risau juga lepas ini pelancong tidak mahu lagi datang menginap di Melaka,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sebuah hotel di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-02-15 at 3.49.37 PM
KHAIRULNIZAM

Ujarnya, biarpun isu berkenaan benar-benar berlaku, biarlah pihak pengurusan hotel sendiri yang menyelesaikannya dengan baik.

“Tidak perlulah kita nak viral atau tularkan isu ini di media sosial, sehingga ada juga yang cuba menyenaraikan hotel-hotel di Melaka yang berhantu.

“Perkara ini tidak perlu berlaku, kita tidak mahu ia menjejaskan ekonomi di negeri ini, setakat ini pun jika terima aduan hanya melibatkan fasiliti di hotel belum pernah lagi isu lain,” katanya.

Tambahnya lagi, pengunjung tidak perlu risau untuk bercuti dan menginap di hotel-hotel yang ada di Melaka, kerana hotel di negeri ini dijamin selamat untuk didiami.

“Kepada pengunjung yang ingin menginap di hotel-hotel di Melaka jangan risau kerana hotel di sini selamat untuk didiami, jangan khuatir sebab kebanyakan pemilik hotel tahu kelebihan dan kekurangan hotel mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8559
Kongsi :
Previous post Kilang bungkus teh, kopi disyaki guna logo halal tidak sah diserbu
Next post 32 penggiat industri pelancongan Melaka ke Hat Yai- Songkla
Ubah saiz-+=