Sorting by

×

Kilang bungkus teh, kopi disyaki guna logo halal tidak sah diserbu

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JOHOR BAHRU, 15 Feb – Sebuah kilang pembungkusan minuman teh dan kopi di Kulai yang dipercayai menggunakan logo halal tidak sah untuk tujuan perdagangan, diserbu petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata seramai 12 anggota penguat kuasa termasuk daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu kilang berkenaan pada 3 petang.

Beliau berkata menerusi operasi itu, sebanyak 15,768 unit pelbagai bungkusan teh dan kopi bernilai RM23,000 turut disita.

“Kesemua bungkusan teh dan kopi itu disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui oleh badan yang bertanggungjawab.

“Kilang ini beroperasi sejak 2019 dan produk dipasarkan ke seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan, Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Beliau berkata sekiranya didapati bersalah, syarikat berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 manakala individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua duanya.

Katanya KPDN sentiasa menjalankan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi untuk memastikan operasi perniagaan dilakukan dengan cara yang dibenarkan dan pengguna boleh mendapatkan barangan serta perkhidmatan tanpa rasa waswas terutama berhubung isu halal.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat atau aduan di talian hotline KPDN 1800 886 800, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6245/6088 dan aduan WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2020
Kongsi :
Previous post Lori bergerak sendiri rempuh rumah, pemandu tersepit
Next post Mana ada hotel berhantu!
Ubah saiz-+=