MPHTJ rangka kaedah baharu selesai aduan penduduk
AYER KEROH 14 Februari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh sedang merangka kaedah baharu menyelesaikan aduan penduduk menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Negeri Melaka.
Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, setiap aduan dihantar secara terus (direct) dalam sistem itu memerlukan ketelitian serta aktiviti turun padang bagi memastikan kesahihan aduan, di samping menunggu kelulusan permohonan peruntukan di peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Aduan dikemukakan dalam sistem yang diterima ini tidak semuanya boleh diselesaikan dengan kadar segera, namun tidak bermakna kita sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus berdiam diri tanpa tindakan.
“Sebaliknya kita cuba menggunakan langkah lain untuk memastikan aduan SISPAA diselesaikan mengikut tempoh piagam pelanggan kita.
“Tidak semua pihak boleh memahami fungsi PBT dan tidak bermakna aduan dalam SISPAA dibiarkan sampai tidak ambil tindakan, persepsi ini silap dinilai segelintir orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Sapiah menerima kunjung hormat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee di pejabatnya di Kompleks Melaka Mall, semalam.
Dalam pada itu, Sapiah berharap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim dapat membantu MPHTJ mengindah dan menambah baik beberapa infrastruktur di Kompleks Tenis Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
“Kompleks ini memerlukan perubahan baharu bagi kegunaan orang awam beriadah selain mengimarahkannya dengan lebih banyak penganjuran pertandingan sukan tenis sepanjang tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.