Sorting by

×

ANGKASA bentang jalan hapus gerakan ‘kartel’ ayam

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PAYA RUMPUT 14 Februari – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal mengangkat satu kertas kerja bagi membawa dasar baharu dalam ekosistem industri penternakan ayam.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kertas kerja dan kajian itu dijangka akan dibentangkan pada Mac depan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menurutnya, berdasarkan dapatan pihaknya, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian, pertamanya, kerajaan perlu mempelbagaikan sumber anak ayam dan ‘parent stock’ daripada beberapa syarikat atau negara dan tidak lagi bergantung kepada satu syarikat sahaja.

“Jadi, ANGKASA sebagai Badan Apex telah kenal pasti beberapa negara yang boleh bekerjasama membekalkan anak ayam.

“Kita juga telah kenal pasti pengeluar bahan makanan ayam dan kita juga ada formula baharu untuk makanan ternakan ini yang tidak lagi bergantung kepada jagung yang mana semua ini akan kita kemukakan daripada kajian tersebut.

“Pada masa sama. kita juga mengenal pasti pemain-pemain utama termasuk dalam bidang koperasi yang boleh bersama agar tidak lagi bergantung kepada ‘kartel’ yang mengawal ayam ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Perasmian Kilang Baja Organik di Krubong, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah mendakwa, industri penternakan negara sebelum ini terjejas dengan ‘permainan’ syarikat yang memonopoli industri berkenaan sehingga bekalan ayam dan telur sering terjejas apabila tiba musim perayaan.

Yang lebih menghairankan, ujarnya, bekalan berkenaan tiba-tiba sahaja banyak di pasaran apabila kerajaan mengumumkan tambahan subsidi ayam dan telur.

Justeru, beliau menegaskan, perlunya wujud satu ekosistem baharu membabitkan industri pengeluaran dan penternakan ayam di negara ini.

“Kita kenal pasti ada 200 hingga 300 koperasi terlibat secara aktif dalam industri ternakan ayam dan sebelum ini mereka menghadapi masalah apabila harga dikawal pihak tertentu.

“Atas sebab itu kita membawa cadangan ini bagi menggantikan ekosistem yang ada sekarang.

“Yang paling penting sektor koperasi mempunyai lebih tujuh juta pengguna dan kita juga ada lebih 3,000 kedai-keda runcit yang boleh menjadi outlet untuk membekalkan ayam kepada pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1047
Kongsi :
Previous post Tindakan Bong Guang Yik, keterlaluan, biadap
Next post ‘Denti’ dan ‘Frankie’ tangkas beraksi dalam operasi SAR gempa bumi Turkiye
Ubah saiz-+=