Jagung Azmi dapat permintaan negara luar
RIM 12 Februari – Permintaan tinggi terhadap jagung manis mendorong seorang anak kampung mengusahakan tanaman itu secara serius sejak 13 tahun lalu.
Mengusahakan ladang jagung dengan keluasan 16.19 hektar di Kampung Simpang Kerayong, kini Noor Azmi Idris, 43, boleh berbangga kerana produk dikeluarkan kini dieksport ke pasaran antarabangsa seperti United Kingdom, Arab Saudi dan Singapura.
Biarpun berkelulusan diploma dalam bidang elektrikal dan mekanikal, namun itu tidak menjadi penghalang kepada Noor Azmi untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.
“Permintaan terhadap jagung yang sentiasa meningkat membakar semangat saya untuk terus mengusahakan tanaman ini. Bekalan semasa tidak mampu untuk menampung permintaan.
“Sebenarnya saya menjalankan aktiviti pertanian hanya sekadar sampingan tetapi selepas melihat peluang yang ada lebih baik diusahakan secara serius dan sekarang menjadi petani sepenuh masa.
“Kejayaan ini adalah hasil tunjuk ajar mentor saya yang banyak berkongsi teknik menanam dan memasarkan produk jagung,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Jalan Zainal Kampung ChinChin, di sini, baru-baru ini.
Setakat ini dia mengusahakan tiga variati jagung iaitu jagung kuning (jagung manis), jagung ‘purple’ dan jagung mutiara.
“Hampir 80 peratus tanaman jagung di ladang saya adalah jagung manis yang mempunyai rasa manis dan aroma yang wangi, jagung ini dijual di pasaran dalam bentuk jagung fresh (batang) atau jagung lerai siap proses.
“Kalau jagung mutiara dan purple kita pasarkan di kawasan peranginan dan pasar raya besar.
Jagung ini boleh dipetik selepas 65 hingga 68 hari dan ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Ujarnya lagi dengan keluasan ladang tersebut dia mampu boleh memperoleh sehingga 1.2 juta tongkol jagung setiap tahun.
“Setahun kita boleh tanam jagung empat musim bergantung kepada keadaan cuaca, satu ekar ladang boleh tanam pokok sekitar 13,000 hingga 15,000 batang.
“Kalau setahun hasil jagung yang dipetik bagi gred A, gred B dan gred C adalah purata sebanyak 250,000 hingga 300,000 tongkol. Jadi setahun sebanyak 1.2 juta tongkol dapat dihasilkan.
“Untuk berat jagung gred A boleh mencecah lebih 450 gram, gred B 350 gram ke atas dan gred C 300 gram ke atas. Selepas dituai jagung, kita akan tanam semula pokok yang baharu,” katanya lagi.
Tambahnya, sehingga kini permintaan jagungnya sentiasa mendapat tempat di negara-negara luar.
“Di Singapura boleh dikatakan setiap hari kita hantar bekalan jagung ke sana, di United Kingdom pula setahun empat kali mengikut permintaan pembeli di sana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.